Monday, 3 July 2023

HOME

PELAKSANAAN AKTIVITI MEWARNA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL


Pendidikan Seni Visual merupakan satu mata pelajaran yang mampu memberi kebebasan kepada murid dalam menghasilkan sesebuah karya yang lebih kreatif mengikut imaginasi mereka sendiri. Terdapat empat bidang kegiatan dalam sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual iaitu menggambar, membuat corak,dan rekaan, membentuk dan membuat binaan serta terdapat juga topik mengenai kraf tradisional. Berdasarkan keempat-empat bidang tersebut, penggunaan unsur seni seperti warna adalah penting dalam melaksanakan bidang-bidang tersebut. Keempat-empat bidang tersebut wajib dikuasai dengan baik oleh setiap guru yang mengajar Pendidikan Seni Visual supaya kemahiran yang disampaikan adalah lebih berkesan kepada murid. Aktiviti mewarna akan dilaksanakan berdasarkan tiga kemahiran iaitu penggunaan media, campuran warna dan ton. Dalam bidang Pendidikan Seni Visual, unsur seni reka yang memainkan peranan penting dalam setiap aktiviti yang dilakukan bersama murid-murid adalah unsur warna. Hal ini kerana, objek dan subjek yang dihasilkan akan kelihatan lebih cantik dan menarik apabila menggunakan unsur warna. Murid-murid dapat mengolah karya mereka dengan menggunakan warna mengikut kreativiti sendiri agar menarik.






KEPENTINGAN SENI VISUAL TERHADAP  PENDIDIKAN KANAK-KANAK


Kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai ciri yang dinamik serta berkembang dengan semula jadi mengikut proses tumbesaran mereka. Penghaslan karya seni visual berfungsi sebagai alat komunikasi dan juga refleksi pemikiran mereka.

  1. ASPEK KOGNITIF

  • Aspek kognitif ini memberi pendekatan terhadap perkembangan pemikiran individu seperti kebolehan belajar dan motivasi serta kebolehan berfikir secara kreatif dan kritis. Aktiviti seni visual dapat melahirkan insan yang berkeupayaan menyelesaikan masalah, bijak membuat keputusan dan mampu membuat penilaian.
  • Antara kepentingan pendidikan seni dari aspek kognitif ialah kanak-kanak diberi peluang bagi melakukan sendiri "Hands - on" terhadap sesuatu kemahiran. Contohnya, semasa aktiviti anyaman, kanak-kanak lebih terbuka untuk menghasilkan karya mengikut kreativiti mereka sendiri. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan keupayaan mereka untuk berfikir secara kritikal. Ia merupakan sebuah aktiviti yang menyeronokkan dan sememangnya jelas menimbulkan rasa ingin tahu dan kreativiti yang dijalankan secara amali.

  • Kemudian, aktiviti melukis dan mewarna dapat mempertingkatkan kematangan kognitif seseorang kanak-kanak. Pakar-pakar psikologi menggunakan lukisan atau kraf kanak-kanak untuk menilai kematangan intelektual dan emosi mereka. Aktiviti seni dan kraf yang tersusun dan terancang dapat melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah, menggalakkan eksplorasi dan eksperimentasi serta bijak membuat penilaian dan keputusan.

  • Selain itu, hasil karya  boleh menjadi bahan bantu mengajar dalam mempelajari kemahiran yang baru. Contohnya, guru boleh meminta murid bagi menghasilkan kraf yang berkaitan dengan haiwan di darat dengan menggunakan bahan-bahan terpakai. Hal ini dapat memberi pendedahan kepada murid tentang cara menghargai alam sekitar sekaligus melestarikan alam.


2) ASPEK FIZIKAL

Penggunaan alat dan bahan untuk menghasilkan kraf seperti gunting, pensil dan gam mampu memberikan sebuah latihan yang berkesan kepada otot tangan iaitu moto halus dan koordinasi tangan serta mata. Sebagai contoh, aktiviti yang memerlukan kanak-kanak memegang pensil untuk mewarna dan menghiasi kraf tangan.
  • Semakin tinggi keyakinan kanak-kanak mengawal jari dan tangannya, semakin banyak pengalamannya dalam berhubung dengan persekitaran . Hal ini mejadikan kanak-kanak lebih menumpukan perhatian terhadap sesebuah tugasan yang diberi sebagai latihan untuk persediaan pembelajaran secara formal. Aktiviti penghasilan kraf dapat melatih kanak-kanak untuk fokus dengan lebih lama lagi. Ini penting bagi meningkatkan daya tumpuannya terutama apabila mereka sudah melangkah ke alam persekolahan nanti.
  • Skil motor halus. Aktiviti seni dan kraf sangat penting bagi meningkatkan skil motor halusnya. Memegang benda kecil dan halus, menggunting, menampal antara latihan yang dapat melatih skil motor kanak-kanak. Ini sangat penting kerana jika otot-otot kecil seperti di jari tidak digerakkan dan dilatih, anak akan sukar membuat aktiviti seperti menulis, mewarna atau membutang baju.
  • Kemahiran motor halus kanak-kanak dapat dipupuk dengan menggunakan latihan seni seperti melukis mahupun menulis. Ini adalah latihan yang terbaik untuk menguatkan motor halus mereka. Dalam masa yang sama, melalui latihan ini juga ibu bapa dapat mengetahui tangan dominan anak mereka sekaligus lebih memudahkan proses dan praktis pengawalan motor halus atau tangan mereka. Ini akan membuatkan kanak-kanak lebih cepat dan pandai menulis kelak.


3) ASPEK KREATIVITI

Kreativiti merupakan proses yang berterusan yang merujuk kepada keupayaan seseorang untuk memproses maklumat yang menghasilkan sesuatu yang baru dan asli. Kreativiti juga boleh dilihat dari penggunaan imaginasi, penerokaan dan hubungan baru. Sementara itu, estetika adalah sesuatu penglibatan individu dalam keadaan merasa, bertindak balas dan kepekaan kepada persekitaran semula jadi persekitaran semula jadi serta persekitaran ciptaan manusia. Melibatkan diri dengan aktiviti seni memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka dengan pelbagai bahan-bahan mewarna, melukis, bentuk, saiz, bunyi struktur dan fungsi sesuatu bahan.Malah aktiviti seni juga membantu kanak-kanak menggunakan pengalaman deria mereka terutamanya ketika merasa struktur, menghidu bahan dan mendengar bunyi.
  • MEREALISASIKAN IMAGINASI
      Aktiviti seni dan kreatif memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merealisasikan imaginasi mereka di dalam pelbagai cara. Ini termasuklah aktiviti seni seperti melukis, mewarna, kraf tangan muzik,nyanyian, drama, puisi, membentuk arca dan sebagainya.

  • MENGGALAKKAN BERFIKIR
      Aktiviti ini memberi peluang untuk kanak-kanak menyampaikan perasaan, karya dan keupayaan mereka dalam pelbagai cara. Malah aktiviti ini menggalakkan mereka untuk berfikir. Contohnya, selepas melukis kanak-kanak merancang untuk mempamerkan hasil kerja mereka, mereka belajar untuk membuat keputusan terutamanya dalam memilih lukisan mana yang harus mereka pamerkan, bagaimana ia diuruskan dan adakah mereka berpuas hati dengan hasil kerja mereka.

  • MELAHIRKAN INSAN KREATIF
      Kraf kanak-kanak bertujuan melahirkan insan untuk mempunyai daya imaginasi dan kreatif untuk melatih dan mendidik pelajar agar membentuk sahsiah yang positif.

4) ASPEK PERSEPSI

Penggunaan pancaindera dan deria murid dapat ditajamkan dan dipertingkatkan melalui proses penghasilan karya seni, produk dan objek yang berada di persekitaran mereka. 

1) Pengembangan sensorik
  • Melalui persepsi, anak-anak dapat mengembangkan dan meningkatkan kemampuan sensorik mereka. Contohnya, melalui persepsi visual, mereka dapat belajar membezakan warna, bentuk, dan ukuran objek. Melalui persepsi pendengaran, mereka dapat mengenali suara, musik dan bahasa yang menyumbang pada perkembangan percakapan dan pemahaman verbal.

2) Pemahaman dunia

  • Persepsi membantu anak-anak memahami dunia di sekitar mereka. Mereka belajar mengenali objek, orang, haiwan, dan persekitaran melalui persepsi sensorik mereka. Ini membantu mereka membina perhubungan antara pelbagai maklumat yang berbeza agar mereka boleh memahami dunia dengan lebih mendalam.

3) Koordinasi motorik:

  • Aspek persepsi juga berhubungan dengan perkembangan motorik anak. Melalui persepsi visual dan sensorik yang lain, kanak-kanak dapat mengkoordinasikan gerakan mereka dengan persekitaran mereka. Contohnya, mereka dapat menggerakkan tangan dan mata mereka secara langsung untuk mengambil objek yang mereka lihat atau menggunakan kemampuan sensorik mereka untuk menjaga keseimbangan ketika berjalan atau berlari.

4) Memproses maklumat:

  • Persepsi membantu kanak-kanak dalam memproses maklumat. Mereka memerhati dan mengumpulkan data melalui pancaindera mereka lalu otak mereka memproses informasi tersebut. Hal ini membolehkan mereka mentafsir dan memahami dunia di sekeliling mereka dan membuat keputusan serta mengambil tindakan yang sewajarnya.



5) ASPEK SOSIAL

  • Aspek sosial menggalakkan murid berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial selain meningkatkan keyakinan diri. Mata pelajaran pendidikan seni juga menganjurkan semangat bekerjasama di dalam aktiviti berkumpulan yang dibentuk. Murid boleh berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial dan keyakinan diri melalui aktiviti penghasilan kraf. Aktiviti penghasilan kraf juga menuntut semangat bekerjasama jika dilaksanakan secara berkumpulan. Melaui aktiviti kraf kanak-kanak, kanak-kanak belajar untuk berinteraksi dengan orang sekeliling secara positif, menghormati hak orang lain dan berkongsi cerita dengan rakan-rakan. Kanak-kanak juga akan mempelajari nilai-nilaii murni melalui persekitaran serta mengenal dan menghormati nilai budaya.

  • Disamping itu, semasa hasil karya dipamerkan, kata-kata pujian yang diberi oleh audien menggalakkan murid untuk bersosial semasa mempersembahkan hasil kraf kanak-kanak mereka. Hal ini kerana kanak-kanak gembira apabila disanjung oleh orang lain dan berkeinginan untuk bergerak secara bebas. Keinginan untuk meneroka, pencapaian kreatif dan meluahkan perasaan. Melalui ini kanak-kanak dapat bersoal dan menanyakan mengenai kraf kanak-kanak kepada guru yang dapat menjadikan mereka lebih berani melontarkan soalan dan bersosial.

  • Melalui aktiviti kraf kanak-kanak, kanak-kanak dapat bersaing secara sihat dan bersosial semasa kanak-kanak menyertai pertandingan. Hal ini kerana mereka mempunyai keinginan yang tinggi untuk bersaing, mempunyai ketangkasan fizikal serta ia juga meningkatkan kemahiran komunikasi sekali gus meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai. Contohnya, pertandingan yang melibatkan lakonan seperti persembahan puppet yang menarik minat kanak-kanak dan melatih mereka bercakap di hadapan umum.


6) ASPEK EMOSI


1) Kemahiran Mengurus Emosi
  • Kebanyakan hasil kraftangan dapat membantu menterjemahkan emosi si pereka Pemilihan warna , kesungguhan dan kesabaran dalam menyiapkan kraftangan yang dirancang pasti dapat melatih seseorang kanak-kanak untuk mengurus emosi mereka Ibu bapa dan guru-guru boleh mengambil peluang ini untuk membaca, menilai emosi kanak- kanak dan memberi sokongan yang sepatutnya.
2) Membantu Pengajaran dan Pembelajaran Kanak-kanak
  • Perkembangan emosi melalui aktiviti kraf kanak- kanak dapat membantu perkembangan kanak- kanak dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana kraf kanak-kanak melibatkan latihan membentuk cara berfikir, cara bertindak, cara berkomunikasi dan membantu kanak-kanak membuat keputusan dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak.

3) Membantu Kesihatan Mental

  • Kraf kanak-kanak seperti glass painting. doodling, origami dan sebagainya mampu meningkatkan imaginasi dan pengetahuan mereka Penglibatan ibu bapa sewaktu melakukan kraf misalnya mampu mendalami perasaan dan minat anak-anak. Kanak-kanak menunjukkan kepuasan dan menyampaikan perasaan mereka menerusi hasil kerja seni mereka serta menerima pandangan orang lain semasa bercerita dan mempamerkan hasil kerja. Proses aktiviti seni dan kraf membentuk sikap positif kanak-kanak berkenaan kebolehan sendiri, membina keyakinan diri dan semangat berdikari. Oleh itu, kanak-kanak boleh diajar untuk meluahkan perasaan mereka melalui seni agar mereka mempunyai satu medium alternatif.

SUHU WARNA

APA ITU SUHU WARNA?

Rajah 1 : menunjukkan warna-warna panas dan sejuk

  • Suhu warna merupakan keamatan warna yang bergantung kepada emosi penglihatan dari aspek nilai estetik dan bukan oleh pancaindera penglihatan.
  • Terdapat dua jenis suhu warna iaitu warna panas dan warna sejuk.


1) WARNA PANAS


Rajah 2 : menunjukkan warna-warna panas

Rajah 3 : contoh warna-warna panas pada persekitaran



  • Warna panas terdiri daripada warna-warna antara merah unggu hingga kuning hijau pada roda warna iaitu mempunyai kehebatan warna dan cahaya yang tinggi serta merangsang pandangan seperti matahari.
  • Warna panas yang menimbulkan suasana bertenaga, cahaya kuat, garang, harapan, dan dekat sesuai diaplikasikan pada catan yang bertemakan peperangan, perayaan, pertandingan dan kemeriahan.
  • Warna panas juga menunjukkan perasaan cemas, bertenaga, gembira, semangat dah huru-hara. 
  • Warna panas mempunyai ton warna yang tinggi.


2) WARNA SEJUK

Rajah 4 : menunjukkan warna-warna sejuk

Rajah 5 : contoh warna-warna panas pada persekitaran


  • Warna sejuk terdiri daripada warna-warna antara hijau hingga ungu pada roda warna iaitu mempunyai kehebatan warna dan cahaya yang rendah. 
  • Warna sejuk menimbulkan suasana kesegaran, kedamaian, kelembutan serta perasaan tenang, dingin, aman sedih dan sunyi.
  • Sesuai digunakan sebagai latar atau corak langsir, kertas dinding, cadar, dan bahan-bahan serta objek bagi hiasan dalaman.




GUBAHAN WARNA

Terdapat tiga kumpulan gubahan warna iaitu :

  1. Warna Harmoni
  2. Warna Penggenap
  3. Warna Sewarna

1) WARNA HARMONI

Rajah 1 : menunjukkan warna harmoni

  • Warna harmoni adalah kumpulan warna-warna yang seolah-olah sama atau warna yang berada dalam suhu warna yang sama.
  • Ia biasanya terletak sebelah-menyebelah dalam roda warna dan ianya juga mempunyai hubungan ton, warna dan suhu warna yang sama.
  • Warna harmoni terdiri daripada dua atau lebih warna dan dikenali sebagai warna sekeluarga.
  • Warna ini dapat menimbulkan persekitaran yang menarik, seimbang dan selesa. 
  • Corak tekstil, perabot, hiasan dalaman, seni halus dan hiasan dinding biasanya menggunakan warna harmoni.
Contoh Warna Harmoni :
  1. MERAH, MERAH JINGGA, JINGGA DAN KUNING JINGGA.
  2. BIRU, BIRU HIJAU, HIJAU DAN KUNING HIJAU.
  3. BIRU, BIRU UNGU, UNGU, MERAH UNGU DAN MERAH.



Rajah 2 : menunjukkan kumpulan warna-warna harmoni


Rajah 3 :
Organisasi warna harmoni dalam rekaan yang panas



2) WARNA PENGGENAP

Rajah 4 :  kumpulan warna penggenap



Rajah 4 : menunjukkan kumpulan warna-warna penggenap


  • Warna penggenap merupakan gubahan warna yang menggunakan kombinasi warna yang berkedudukan saling bertentangan dalam roda warna.
  • Dikenali sebagai "complementary".
  • Campuran warna penggenap akan menghasilkan warna neutral.
  • Gabungan warna-warna penggenap dalam penghasilan karya akan menghasilkan rasa getaran, suasana kontra, riang, seperti ada pergerakan.
Pasangan warna penggenap :
  1. BIRU DAN JINGGA
  2. MERAH DAN HIJAU
  3. KUNING DAN UNGU


3) WARNA SEWARNA

Rajah 5 : Warna Sewarna
  • Sewarna merupakan gubahan yang menggunakan satu warna dalam beberapa ton atau lebih dikenali sebagai warna monokrom.
  • Sewarna boleh dihasilkan dengan mencampurkan satu warna dengan hitam untuk mendapatkan kesan gelap dan mencampurkan putih bagi mendapatkan warna cerah bagi mencipta corak tekstil, ubin, perabot dan hiasan dalaman.
  • Penggunaan warna ini dapat menimbulkan suasana selesa dan harmoni. 


NILAI WARNA

 APA ITU NILAI WARNA?

  1. Nilai warna merupakan kadar kecerahan warna menerusi campuran warna-warna tertentu.
  2. Terdapat tiga nilai warna : 
  • Ton Warna
  • Kroma Warna
  • Warna Neutral

1) TON WARNA


Rajah 1 : Ton Warna
  • Ton warna merupakan nilai cerah dan gelap sesuatu warna.
  • Ton warna didapati melalui campuran warna asal dengan putih atau hitam mengikut kadar tertentu. (Jika menggunakan cat air, air dilebihkan bagi mendapat ton yang cerah.
  • Ton warna berguna dalam menghasilkan ruang dan bentuk tiga dimensi.
  • Melalui ton warna, bentuk tiga dimensi dapat dihasilkan dengan pengolahan kesan cahaya pada permukaan objek.
  • Penambahan warna terang memberi kesan terhadap kedudukan objek.
                  Rajah 2 : Aplikasi ton warna untuk mencipta ruang dan bentuk tiga dimensi


Cara penghasilan ton warna :
  • Ton warna cerah : Warna yang cerah dapat dihasilkan melalui campuran warna putih pada warna lain mengikut kadar tertentu. Terhasil apabila satu warna dicampur dengan perkadaran warna putih mengikut peringkat demi peringkat.
  • Ton warna gelap : Warna gelap dapat dihasilkan melalui campuran warna hitam pada warna lain mengikut kadar tertentu. Terhasil apabila satu warna dicampur dengan perkadaran warna hitam mengikut peringkat demi peringkat.

2) KROMA WARNA

Rajah 4 : Kroma Warna


  • Kroma warna merupakan nilai ukuran kuasa sesuatu warna yang menunjukkan kepada kadar kecerahan dan kegelapan (pudar) warna setelah dicampur dua warna. 
  • Kesan warna yang pudar daripada warna asal akan ditimbulkan melalui kroma warna.
  • Terhasil daripada campuran warna penggenap dengan nisbah warna berbeza. Contohnya, warna merah yang dicampur dengan warna hijau akan menghasilkan warna neutral (kelabu) dengan nisbah berbeza.
  • Nisbah campuran dengan warna penggenap akan menentukan nilai kualitinya.
  • Penggunaan warna kroma dalam penghasilan karya catan dapat menimbulkan suasana sedih dan sunyi.

3) WARNA NEUTRAL


Rajah 5 : Warna ton antara putih dan hitam


  • Warna neutral merupakan warna yang tidak tergolong dalam kategori warna primer, warna sekunder dan warna tertier.
  • Warna natural ialah warna putih dan warna hitam atau campuran kedua-duanya iaitu warna kelabu.
  • Warna neutral juga merujuk kepada campuran dua warna penggenap dengan nisbah yang
    menghasilkan warna baru yang telah hilang kedua-dua warna aslinya. 
  • Contoh : warna perang, warna kulit, khaki, kuning air, coklat dan sawa matang. 
  • Warna neutral amat sesuai digunakan bersama-sama warna asas, kombinasi warna-warna penggenap dan warna yang berkontra untuk melembutkan kehebatan kesan karya agar kelihatan selesa dan tidak menyakitkan mata. 

SELAMI DUNIA DIGITAL

APA ITU PEMBELAJARAN DIGITAL?

Rajah 1

 

Pembelajaran digital merupakan sebuah kaedah pendekatan pendidikan yang menerapkan teknologi digital secara berkesan dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Pembelajaran digital merupakan amalan pengajaran yang membantu pelajar dalam penggunaan teknologi pendidikan. Ia termasuk dalam kategori pembelajaran terbalik (flipped),  pembelajaran teradun dan pembelajaran diperibadikan (personalised)  serta dasar lain yang bergantung pada alatan digital berskala kecil mahupun besar. 


APAKAH PEMBELAJARAN DIGITAL MEMBERI MANFAAT TERHADAP PENDIDIKAN SENI? 

Seni digital ditakrifkan sebagai seni yang dihasilkan secara digital dengan menggunakan komputer sebagai medium penting dalam proses persembahan dan kreativiti. Kini, karya seni tidak semestinya dibuat dengan menggunakan kanvas dan kertas malahan karya seni boleh menggunakan bantuan teknologi yang semakin berkembang pesat dan moden. Contohnya, penggunakan perisian grafik vector, photoshop dan illustrator untuk melukis dan mengimbas gambar menerusi komputer.

MARI BELAJAR TENTANG WARNA

APA ITU WARNA ?

Rajah 1 : Pembiasan cahaya putih melalui prisma 
tersebar menghasilkan 7 komponen cahaya


  • Warna merupakan hasil tindak balas cahaya terhadap sesebuah objek atau permukaan yang boleh dikesan melalui deria penglihatan atau visual. Dalam penghasilan karya seni, warna merupakan pigmen pewarna kimia yang memberi tindak balas pada sesebuah permukaan bagi menghasilkan imej, palitan atau sapuan bagi mencorak.
  • Secara umumnya, pengwujudan cahaya dapat mengesan warna.



Rajah 2 : Roda Warna

  • Roda warna merupakan gambaran visual warna yang diatur mengikut hubungan warna antara satu sama lain.
  • Roda warana ialah sebuah alat yang digunapakai bagi membantu menjelaskan perhubungan antara warna primer, warna sekunder dan warna tertier. 
  • Rona (hue) warna merupakan satu daripada warna-warna spektrum.
Warna terbahagi kepada tiga bahagian :

  1. WARNA ASAS
  2. WARNA SEKUNDER
  3. WARNA TERTIER


1) WARNA ASAS

  • Warna asas dikenali sebagai warna utama dan warna primer. Warna primer merupakan warna yang tidak boleh dihasilkan dengan campuran warna lain atau erti kata lain ianya warna asli. 
  • Terdapat tiga warna asas iaitu warna merah, biru dan kuning.
  • Melalui campuran ketiga-tiga warna ini, warna yang lain dapat dihasilkan.


2) WARNA SEKUNDER

Rajah 3 : Warna Sekunder (Ungu, Jingga, Biru)

  • Warna sekunder atau warna kedua ini merupakan hasil daripada campuran warna asas 
  • Warna sekunder = Warna asas + Warna asas.
  • terdapat tiga warna sekunder iaitu warna ungu, jingga dan hijau.
  • MERAH + KUNING = JINGGA
  • KUNING + BIRU = HIJAU
  • BIRU + MERAH = UNGU

Rajah 4 : Warna Sekunder



3) WARNA TERTIER


Rajah 5 : Warna Tertier


  • Warna tertier ,merupakan hasil campuran satu warna asas dan satu warna sekunder yang bersebelahan dalam roda warna.
  • Warna tertier + Warna asas + Warna sekunder
  • Warna tertier bersifat lembut.
Warna tertier ialah :
  • MERAH UNGU (MERAH +UNGU)
  • BIRU UNGU + (BIRU + UNGU)
  • BIRU HIJAU (BIRU+ HIJAU)
  • KUNING HIJAU (KUNING + HIJAU)
  • KUNING JINGGA (KUNING + JINGGA)
  • MERAH JINGGA (MERAH + JINGGA)

Rajah 6 

VIDEO & KUIZ

 VIDEO VIDEO 1 VIDEO 2 VIDEO 3 LINK KUIZ https://forms.gle/MsMdWQACj8Rapo1N7